Isnin, 27 September 2010

mimpi ular tedung

Mimpi yang bakal anda baca ini adalah merupakan satu mimpi yang telah menghantui hidup aku. Ianya telah berlaku pada  tahun 2007. Aku rasa mimpi ini pelik dan seolah-oleh ianya benar-benar terjadi dimana aku percaya menerusi mimpi itu aku mungkin telah memasuki ke  alam ghaib. Terserahlah pada yang Tuhan Yang Maha Agung...  Aku berserah pada Nya Yang Maha Mengetahui dan Maha Ampun... Ya Allah Ya Tuhan ku...
Bismillah..
Inilah kisah mimpi aku...
Aku berada pada satu laluan jalan kampung. Agak pelik tetapi aku dapat rasakan seolah aku pernah berada di sini tetapi bukannya melalui realiti. Mungkin pengalaman mimpi lama dulu ketika aku masih kecil dahulu. Aku rasa pelik tetapi aku mesti juga meneruskan perjalanan aku kerana aku melihat sekitar jalan ini seolah-olah menolak aku agar terus berjalan menuju ke hadapan.
Bila aku toleh ke belakang, aku Nampak seperti malam sedang mendatang. Nampak gelap seperti malam sahaja. Aku teruskan berjalan ke hadapan menyusuri sebalah jalan bertar itu.
Gambaran jalan bertar ini seperti yang terdapat di kampung-kampung. Tidaklah selebar mana. Hanya muat untuk satu kenderaan sahaja.
Ketika aku berjalan di tepi jalan itu aku dapat lihat di bahagian kiri aku nampak kawasan hutan yang berpagar kayu. Di antara jalan dan pagar kayu itu pula hanya di tumbuhi rumput dan lalang. Tak adapun tiang lampu jalan atau tiang telefon.
Manakala di sebelah kanan aku pula hanya kawasan sawah padi yang tiada penghujung. Ada juga kelihatan beberapa buah rumah kampong tetapi agak jauh kedudukannya dengan jalan tar. Juga kelihatan beberapa buah pokok kelapa yang sedang melambai-lambai daunnya sebab di tiup angin. Di belakangnya nampak banjaran titiwangsa dengan awam biru. Memang sejuk mata memandang. Cantik dan aman rasanya. Aku tersenyum melihat pemandangan yang aman itu dan berasa hati aku sangat tenang.
Sedang aku berjalan perlahan sambil melihat sawah padi itu, aku nampak sekumpulan wanita dalam 4-5 orang sedang berjalan menuju ke arah yang sama denga aku. Ada yang bertelekung dan berjubah putih seperti hendak bersembahyang dan ada juga memakai baju kurung sehaja tetapi membawa beg galas. Mereka Nampak berbual-bual sahaja sambil berjalan. Ada yang menjeling ke arah aku tetapi hanya menjeling biasa sambil mengangguk kepada aku macam aku ini orang dalam kampung itu juga.
Aku terus mengamati mereka yang sedang melepasi jambatan jalan tar yang dalam 10 kaki panjangnya itu. Tiba-tiba aku di tegur oleh seorang pakcik tua dengan memberi salam. Aku pun menjawab salamnya. Diapun memberhentikan mengayuh basikal tua warna hitam dan bertanya kepada aku.
Pakcik Tua: ‘Anak ini nak pi mana?’
Aku: ‘Saya nak pi ke depan tu pakcik.’
( Pakcik Tua ini dalam likungan 70 tahun usianya. Berjanggut putih dan agak kurus juga. Tegap seperti seorang pahlawan. Jari-jari dia ada cincin batu yang besar-besar juga. Ada cincin batu warna hitam, merah dan perang. Maksud aku seperti orang yang mempunyai ilmu silat. Nampak ada tasbih di tangannya. Memakai ketayap putih dengan pakaian singlet putih dan  kain pelekat bercorak kotak-kotak bewarna merah,putih dan kelabu ).
Pakcik Tua: ‘Rumah sapa? Nak cari sapa?’
Aku: ‘Saya pun tatau la Pakcik.... saya jalan aja.’
( Aku berasa pelik pula sebab Pakcik Tua ini bertanya banyak soalan. Nampak tidak mesra pula seperti kumpulan wanita-wanita tadi. Dia marah aku ke sebab masuk ke kampung ini atau sekadar hendak bertanya sahaja. Entahlah ).
Pakcik Tua: ‘Mmmm... dah nak masuk waktu sembahyang zuhur ni... pi surau sembahyang dulu’.
( Keras juga nada percakapan Pakcik Tua ini kepada aku tetapi nada keras itu seperti seorang atuk bercakap dengan cucunya. Keras tetapi memujuk ).
Aku: ‘Baiklah Pakcik’
Aku pun terus berjalan mengikut Pakcik Tua itu melepasi jambatan tadi. Tiba-tiba ada sebuah surau beratap rumbia dan berdinding kayu yang dikeliling oleh rumput hijau. Melepasi rumput-rumput ini ada pula lalang-lalang yang sedang menari-nari di tiup angin. Ada sebuah pelantar di anjung surau itu. Pelik rasa aku sebab tiba-tiba ada sebuah surau di depan aku.
Setibanya aku di hadapan surau itu, aku pun membasuh kaki aku dengan timba di sebuah pasu besar yang ada di lantai tangga anjung surau. Sambil itu aku pun terus mengambil wuduk
Setekah siap berwuduk, akupun menaik anjung yang setinggi 5 anak tangga itu dan berdiri di pintu surau. Aku terkejut sebab ada kumpulan lelaki seramai 15 orang. Ada yang sedang duduk bersila dan ada yang berdiri mengambil tempat dalam barisan hadapan saf sambil menanti bilal untuk azan sebagai tanda masuknya waktu zuhur. Mereka seolah-olah terkejut melihat aku. Ada yang memandang sesama mereka. Ada yang tersenyum . Ada juga yang masih terkejut. Pelik melihat gelagat mereka ini seperti aku ini sudah sekian lama tidak memijak kaki di kampung ini.
 Aku pun membalas senyum dan memberi salam kepada semua jemaah surau. Aku pun terus masuk ke dalam dan duduk bersila. Keadaan dalam surau ini Nampak seperti surau-surau yang biasa-biasa sahaja.
Selesai azan dan imam pun meminta semua jemaah mengisi saf yang hadapan dahulu sambil menjeling ke arah aku. Aku pun terus mengambil saf bahagian hadapan. Kami pun terus bersolat berimam. Selesai solat, kami pun bersalaman. Aku lihat yang yang tersenyum seronok dan mahu berbual-bual tetapi seperti dilarang oleh imam surau. Aku nampak dia seperti menjeling keras sahaja bila jemaah bersalaman dengan aku. ketika itu aku merasakan seperti terdapat rahsia yang hendak mereka sembunyikan. Perasaan takut pun ada tetapi aku hanya mampu bersenyum sahaja. Jauh di sudut hati mohon janganlah nanti ada yang memarahi aku secara tiba-tiba. Para jemaah surau pun mula beransur menuju ke pintu dan anjung surau.
Tiba-tiba keadaan menjadi gamat kerana ahli jemaah surau yang ada di anjung surau terkejut melihat ada seekor ular jenis ular tedung yang besar dan panjang menyusur bawah anjung surau. Terkejut juga aku mendengarnya. Tetapi tidak semua ahli jemaah surau itu yang mengelabah. Kebanyakkannya mereka hanya mengeluh sahaja. Seolah-olah ular tedung itu perkara biasa.
Mula-mula mereka berkumpul di anjung untuk melihat ular tedung itu. Akupun ikut sama. Nampak la aku di celah-celah lantai kayu anjung itu ada seekor ular tedung. Aku nampak ular tedung itu warnanya hitam berkilat-kilat sehinga begitu jelas sisik di badan ular itu. Panjang dalam 7 kaki dan lebarnya dalam besar lengan tangan. Sangat menakutkan bila mengingatkan tentang bias ular yang kuat.
Jemaah semua berasa tidak selesa sebab mereka semua hendak pulang ke rumah atau ada urusan lain. Mereka pun cuba lari ikut tingakp surau. Aku pun ikut mereka. Tapi aku nampak di bawah lantai kayu surau itu, ular tedung ikut sahaja kami. Apabila kami handak terjun dari surau tingkap, ular tedung itu sudah menunggu pula di depan tingkap itu sambil menaikkan badan dan mengembangkan kepala leher dia dengan seluas-luasnya. Jelir lidah bercabangnya. Dengan dengusan ular tedung yang kuat dan menakutkan. Kamipun berlari secepat mungkin pula ke anjung surau. Tetapi aku nampak ular itu mengekori dengan pantas sekali ke anjung surau juga. Sangat pantas. Terkejut aku dengan kepantasan ular tedung itu. Aku nampak mata ular tedung itu merenung aku dengan biji matanya yang merah saga itu.
Berlari-lari kami semua sekejap ke anjung dan sekejap ke tingkap masjid. Ada juga yang berjaya keluar. Akhirnya, salah seorang dari kami mencadangkan agar aku ini sahaja yang duduk di tepi tingkap kerana ular tedung itu seolah-olah mengikut aku dan sebab aku ini orang yang paling muda sekali. Katanya orang muda kalau berlari lebih laju. Akupun ikut saja tanpa memikirkan apa-apa. Aku pun berdiri di tepi tingkap. Mereka pun berlari keluar ke anjung dan terus meninggalkan aku bersendirian. Akupun cuba melarikan diri juga. Tetapi kerap kali juga gagal sebab ular tedung itu pantas mengekori aku di bawah surau. Akhirnya aku pun mengalah dan hanya duduk saja di pintu surau di anjung.
Ular tedung itu seperti memahami yang aku dah penat dan dia pun memandang aku dari luar anjung. Bila aku pandang sahaja ular tedung itu, dia terus memusing-musing badannya dan melompat-lompat. Gaya seperti kucing yang tengah bermain-main di hadapan tuannya. Dia buat begitu setiap kali aku memandangnya. Kadang-kadang dia berhenti sekejap untuk periksa sama ada aku masih di anjung memerhatikan dia atau tidak. Pelik aku melihat gelagat ular tedung itu. Bila aku lihat betul-betul ular tedung itu nampak di atas kepalanya ada tompok putih yang berkilat. Setiap kali dia kembangkan kepalanya. Sangat menggerunkan. Bayangkan kembangnya sangat lebar. Dia berdiri pun sangat tegap dan sasa.
Ualr tedung itu asyik memusing dan melompat akhirnya sampai ke kawasan lalang yang hanya jarak 20 kaki dari anjung surau. dari anjung surau itu, aku tengok pemandangannya sangat memukau dengan ular tedung itu bermain-main. Tergerak juga di hati aku ini yang ular tedung ini seolah-olah sedang bermain dengan aku kerana menyambut kedatangan aku ke kampung ini. Mungkin ular tedung ini pernah berjumpa dengan aku. Sangat mengasyikkan dan sangat mengujakan aku melihat ular tedung itu secara teliti. Setiap kali dia mengembang akan kedengaran dengusan yang kuat. Dia pula akan asyik berhenti untuk memastikan aku masih memandangnya yang seolah-olah sedang menari-nari.
Tiba-tiba aku pun terjaga dari mimpi ini. Aku terkejut sebab aku masih boleh mengingat mimpi-mimpi itu. Biasanya aku akan terus terlupa. Inilah antara mimpi-mimpi aku yang masih meninggalkan kesan kepada kehidupan aku. Perasaan takut sudah tiada lagi tetapi rasa ingin tahu dan merindui ular tedung itu masih ada.

1 ulasan:

azieyproperty berkata...

good for sharing dear....

hmm mcm cerpen..